Pameran serlah perjalanan transformasi, inovasi UTB




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohammad Hasif Matzin





BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 19 Januari. - Pameran empat dekad yang mengisahkan perjalanan transformasi serta sumbangan UTB sepanjang 40 tahun penubuhannya merupakan antara pengisian pada Sambutan 40 Tahun Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang diadakan di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), hari ini.


Pameran 'The First 40 Years : Enlivening Legacy, Empowering Innovation' ini menonjolkan pencapaian utama, perkembangan institusi serta peranan UTB dalam landskap teknikal dan teknologi Negara Brunei Darussalam.


Berkenan berangkat menyaksikan pameran tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UTB.


Penolong Profesor, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Fakulti Kejuruteraan, yang juga Timbalan Pengarah, Pusat Penyelidikan Teknologi Hijau dan Kelestarian (GreenTeXS), UTB, Pengiran Dr. Rafidah bin Pengiran Haji Petra selaku Ketua Bersama Jawatankuasa Kecil Pameran ketika ditemui mengongsikan bahawa pameran sempena Sambutan 40 Tahun UTB ini merangkumi beberapa komponen utama yang mencerminkan perjalanan dan nilai UTB.


Antaranya ialah Pelancaran Wakaf Mushaf UTB, pameran perjalanan dan pencapaian UTB sepanjang 40 tahun, serta pelancaran buku UTB Pulse Edisi Khas 40 Tahun yang merakamkan detik-detik penting dan pencapaian universiti. Kesemua ini memberi gambaran menyeluruh tentang bagaimana UTB berkembang dari dahulu hingga kini.


“Sebagai jawatankuasa kecil pameran, kami melihat pameran ini bukan sekadar retrospektif, tetapi juga sebagai platform ke hadapan. Antara perancangan kami ialah memperkenalkan pendekatan pameran yang lebih interaktif, penggunaan kandungan digital," ujarnya.


Turut dilancarkan semasa pameran tersebut ialah Buku Kenangan UTB Pulse 'The First 40 Years : Enlivening Legacy, Empowering Innovation', yang merupakan Edisi Khas bersempena Ulang Tahun Ke-40 UTB.


Buku Kenangan The First 40 Years merupakan sebuah penerbitan khas yang merakam perjalanan empat dekad UTB sejak penubuhannya sebagai Institut Teknologi Brunei (ITB) sehingga berkembang menjadi sebuah universiti teknologi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.


Buku ini menghimpunkan dokumentasi menyeluruh yang merangkumi kepimpinan tertinggi negara dalam bidang pendidikan, kepimpinan ITB dan UTB dari dahulu hingga kini, serta struktur tadbir urus semasa universiti termasuk Majlis Universiti, Senat dan carta organisasi UTB bagi Sesi 2025 / 2026.


Turut dimuatkan ialah naratif sejarah yang menelusuri perkembangan institusi merentasi empat dekad, menggambarkan transformasi, cabaran dan pencapaian penting UTB.


Penolong Pegawai Perhubungan Awam UTB, Awang Muhammad Iqbal bin Haji Masmin semasa ditemui mengongsikan bahawa UTB Pulse mula diterbitkan pada tahun 2013, yang mana ia adalah sebagai satu platform untuk berkongsi perkembangan, aktiviti serta pencapaian dalam komuniti universiti.


“Sepanjang tahun-tahun ini, UTB Pulse telah mendokumentasikan perjalanan UTB merangkumi bidang akademik, penyelidikan, pencapaian pelajar serta kerjasama antarabangsa.


“Tahun ini amat bermakna kerana bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40 UTB, kami turut menerbitkan UTB Pulse Edisi Ke-40, yang mencerminkan pertumbuhan majalah ini seiring dengan perjalanan UTB selama empat dekad," ujarnya.


Beliau juga menyatakan, edisi khas tersebut meraikan pencapaian, sumbangan serta peranan UTB sebagai institusi terkemuka dalam bidang teknologi, kejuruteraan dan pembangunan negara. Pameran yang diadakan di ruang legar BKISHHB itu akan berlangsung bermula 19 Januari hingga 21 Januari 2026.




Close